sweet memories

Tuesday, 1 January 2013




Harian Metro

Kesan buruk ketap gigi

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my
BRUXISM atau lebih dikenali dengan tabiat mengetap gigi selalunya dilakukan seseorang tanpa disedari ketika tidur nyenyak. Biarpun nampak seperti tidak berbahaya dan hanya menjengkelkan orang sekeliling, ia sebenarnya mampu memberi kesan jangka panjang kepada pelakunya.
Masalah itu boleh dikenal pasti apabila gigi bahagian atas dan bawah diketap dan digesek kuat secara bersama yang dilakukan berterusan hingga mengeluarkan bunyi gesekan yang ‘menyeramkan’ bagi mereka yang pertama kali mendengarnya.
Walaupun masalah itu mungkin hanya satu fasa dalam kehidupan dan boleh berlalu serta pulih dengan sendirinya, penting untuk setiap orang menanganinya supaya ia tidak berlarutan dan memberi impak pada diri individu itu.

Antara kesan buruk yang boleh berlaku sekiranya tabiat itu berterusan dalam jangka panjang adalah gigi menjadi haus atau sumbing. Ini kerana gigi pecah di bahagian hujung, kesakitan di bahagian rahang selain turut menyumbang kepada masalah sakit kepala yang teruk.


Selain orang dewasa, tabiat mengetap gigi turut berlaku di kalangan kanak-kanak hingga merisaukan ibu bapa. Sukar untuk melarang anak-anak supaya tidak melakukannya kerana mereka juga tidak menyedari perlakuan itu apatah lagi ia berlaku ketika tidur.

Namun masih ada langkah yang boleh diambil ibu bapa bagi membantu anak mereka menangani tabiat buruk itu.


  • Ibu bapa harus peka dan memberi perhatian bagi mengenal pasti sama ada anak mereka mengalami bruxism seperti melihat anak-anak yang sedang tidur di tengah malam bagi memastikan mereka bebas daripada masalah mengetap gigi.

  • Ibu bapa juga perlu memberi perhatian dan mengenal pasti masalah bruxism di kalangan anak-anak apabila anak membuat aduan seperti mereka berasa sakit pada bahagian rahang, tergigit bahagian dalam pipi atau ada anak yang lain mengadu adik-beradiknya membuat bunyi bising ketika tidur.

  • Bruxism mungkin berlaku akibat rasa tertekan, oleh itu ibu bapa perlu berbincang dengan anak, mengenal pasti isu yang dialami anak seperti dibuli di sekolah atau kerisauan mengenai sesuatu dan mencari penyelesaian kepada masalah berkenaan. Kemungkinan besar masalah mengetap gigi akan berhenti sendirinya apabila anak berasa lebih tenang.

  • Jika kerisauan memuncak mengenai bruxism di kalangan anak dan ibu bapa hilang punca untuk membantunya, bawa anak bertemu doktor gigi terutama sekiranya anak sering mengadu sakit di bahagian rahang.

    Doktor gigi akan membantu dengan memberikan pelindung gigi seperti yang digunakan atlet profesional, yang hanya digunakan ketika tidur pada waktu malam bagi mengelak mereka terus mengetap sehingga merosakkan gigi. Bagi kanak-kanak dan bayi, pelindung gigi biasanya dibuat mengikut bentuk mulut dan gigi supaya ia muat.

  • Didik anak supaya tidak menggigit atau mengunyah apa-apa peralatan seperti pensel, pen, penyedut minuman dan elak beri anak gula-gula getah. Ini kerana tabiat mengunyah sesuatu yang bukan makanan akan membiasakan anak menggunakan otot rahangnya untuk mengetap dan mengisar, seterusnya boleh mendorong bruxism berlaku pada waktu tidur.

  • Cara lain yang boleh dilakukan ibu bapa untuk membantu mengurangkan seterusnya menangani masalah bruxism adalah meletakkan kain yang direndam dalam air suam di bahagian pipi berhampiran telinganya selama 10 minit. Ini bagi merehatkan otot rahangnya setiap kali sebelum anak tidur.

  • Ibu bapa juga perlu memastikan anak mereka minum air yang cukup sepanjang hari termasuk sebelum tidur. Masalah bruxism sering berlaku apabila tubuh kekurangan cecair.

  • Sediakan suasana tidur yang menenangkan untuk anak supaya dia tidak tertekan setiap kali sebelum tidur. Misalnya memberikan anak susu suam, mandian suam atau membacakan buku cerita yang menggembirakannya.

  • Jangan berikan anak makan coklat atau minuman susu berperisa sebelum tidur. Ini kerana kandungan kafein dan gula dalam makanan itu akan menyebabkannya sukar tidur atau membuatkan tidurnya sedikit terganggu.

  • Selain kanak-kanak, bruxism juga boleh berlaku di kalangan bayi. Oleh itu, bawa anak bertemu doktor kanak-kanak dan maklumkan semua maklumat mengenai waktu dan tempoh bayi anda biasa mengetap giginya. Ini bagi membantu doktor memahami dan mencari penyelesaian kepada masalah itu.

  • Jangan biarkan anak menangis atau meragam sebelum tertidur. Pastikan bayi berasa tenang dengan mendodoi dan mendakapnya rapat ke badan sehingga dia tidur dalam keadaan tenang.

  • Biarpun bruxism selalu berlaku ketika tidur, ia juga boleh berlaku ketika aktiviti yang memberi tekanan pada bayi atau kanak-kanak. Ibu bapa perlu peka dan kenal pasti tabiat suka mengetap dan menggesek gigi pada anak mereka.

  • Sekiranya anak atau bayi didapati mengetap gigi ketika anda membacakan buku cerita menakutkan mereka atau menonton filem seram menakutkan, elakkan perkara sedemikian.

  • Jika anak cenderung menggesek gigi sekiranya sedang bimbang, cuba pelbagai cara untuk membuatkan anak berasa lebih selamat dan tenang termasuk sering mendakapnya dan memberi perhatian sewajarnya apabila ibu bapa sedar dia berada dalam keadaan tertekan dengan keadaan sekelilingnya.

  • Selain kanak-kanak, orang dewasa juga boleh mengalami masalah bruxism. Ia boleh diatasi jika pandai menguruskan tekanan, kurang mengambil minuman berkafein, mandi air suam, minum susu suam serta merenggangkan otot sebelum tidur.
    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/01




  • No comments:

    Post a Comment